Kali ini
ingin berkongsi Khutbah haji yang disampaikan oleh Rasulullah dengan
penuh syahdu di Padang Arafah ketika Baginda mengerjakan Haji Wida’
bersama dengan lebih kurang 124ribu para sahabat sebelum kewafatan
Baginda. Berikut adalah petikan khutbah haji wida’ Baginda Rasulullah
S.A.W yang menjadi pedoman hidup seluruh umat Islam akhir zaman.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak
mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas
tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada
hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini
dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang
Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada
kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun
agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya
kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala
amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang
melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa
untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah
supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka
juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak
mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan
pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka
ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak
sukai ke dalam rumah kamu dan dilarangmelakukan zina.
Wahai
manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah,
dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan,
dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah
Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah
saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal
solah.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu
hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu
kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak
ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir
agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh
dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang
lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang
terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku
sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
Banyak sungguh
panduan yang ada dalam Khutbah Haji Wida’ yang semestinya menjadi
panduan dan pedoman untuk seluruh umat Islam akhir zaman. Setelah
mendengar khutbah haji wida’ hampir semua Para Sahabat telah bertebaran
keseluruh pelusok dunia untuk menyampaikan pesanan. Daripada 124ribu
hanya sekitar 10ribu Para Sahabat yang kuburnya berada di Mekah dan
Madinah selainnya berada bertebaran diseluruh dunia. Atas usaha dan
pengorbanan para sahabat lah kita di Nusantara mendapat nikmat yang MAHA
besar iaitu nikmat IMAN kepada ALLAH S.W.T.
Marilah kita
berazam untuk taat perintah Allah dengan cara yang telah ditunjukkan
oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk kejayaan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment